Dr Adam Al-Anas bin Mat Ali
Pakar Kanak -kanak Putra Specialist Hospital Melaka
Najis bayi anda boleh memberikan indikasi tahap kesihatan mereka. Oleh sebab itu, doktor akan banyak bertanya soalan berkaitan najis. Antara soalan-soalan berkaitan najis yang selalu doktor tanya adalah seperti berikut
- Berapa kerap bayi membuang najis? Berapa kerap menyalin lampin?
- Apa warna najis?
- Bagaimana konsistensi najin tersebut?
- Adakah terdapat darah atau warna lain dalam najis tersebut?
- Adakah ada simptom-simptom lain?
Walaupun saya sendiri seorang doktor tetapi saya sendiri pernah ke jabatan kecemasan untuk anak pertama saya. Saya ingatkan bayi saya cirit kerana terlalu kerap saya menukar lampin. Rupanya ianya adalah pekerja yang normal untuk anak saya kerana saya menyusukan badan anak saya.
Sifat dan ciri-ciri najis akan dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti faktor pemakanan, tahap hidrasi anak, keadaan emosi anak, penggunaan ubat, jenis makanan yang dimakan dan lain-lain lagi.
Apa Ciri-Ciri Najis Yang Normal?
Umumnya, bayi yang baru lahir akan berak dengan lebih banyak dan kerap. Semasa usia beberapa hari pertama, bayi akan membuang najis yang warnanya hijau gelap dan kehitaman. Tahi pertama ini dinamakan meconium. Meconium ini warnanya memang hijau gelap kehitaman dan konsistensinya melekit seperti gam. Kemudian barulah warna najis bayi akan bertukar kepada kekuningan kerana penghadapan susu.
Apabila bayi sudah kerap menyusu badan secara eksklusif, bayi akan membuang najis 4 hingga 6 kali sehari. Berbeza dengan najis bayi yang diberi susu formula, najis bayi yang menyusu badan secara eksklusif lebih cair dan lembut najisnya.
Najis bayi yang berusia kurang 6 bulan biasanya akan kekal cair dan lembut konsistensinya kerana hanya minum susu ibu atau susu formula. Biasanya, najis bayi yang berusia kurang 6 bulan kurang berbau.
Najis 7 Hari Pertama – Panduan Untuk Ibu Bapa
Selepas bayi mengeluarkan meconium yang warnanya hijau gelap, perlahan-lahan warna najis akan berubah kearah kuning-kuningan, kuning kehijauan atau perang.
Hari 1-2 | ![]() Ini adalah meconium. Najis awal yang keluar dari bayi anda. Ianya berwarna hijau gelap kehitaman. Ianya sudah ada dalam salur penghadaman bayi anda sejak dari dalam rahim lagi |
Hari 3-4 | ![]() Ini pula najis untuk hari 3 – 4. Najis ini sudah mula menjadi kuning kehijauan kerana bayi anda sudah minum susu. |
Hari 5-6 | ![]() Ini najis anak anda pada hari ke-5 atau ke-6. Ianya menjadi kuning atau perang, berbiji-biji, lembut dan tidak berbau. Ia menjadi warna ini kerana meconium sudah tiada dalam salur penghadaman |
Sumber Gambar: Newborn baby poo in nappies: what to expect
Sembelit Pada Bayi
Setiap bayi berbeza. Tetapi secara amnya, bayi anda patut membuang najis beberapa kali sehari dalam minggu pertama kelahiran. Kekerapan anak membuang najis juga berbeza untuk bayi yang menyusu ibu secara eksklusif berbanding dengan susu formula. Bayi yang menyusu badan secara eksklusif kurang mendapat sembelit.
Apa tanda-tanda bayi saya sedang sembelit?
Berikut merupakan tanda-tanda yang bayi anda mungkin mengalami sembelit.
- Najis keras, kering dan nampak seperti ketulan batu kecil
- Najis lebih berbau berbanding sebelumnya
- Najis lebih besar berbanding sebelumnya
- Perut bayi anda mungkin terasa keras
- Bayi merengek
- Bayi tidak berasa lapar seperti biasa
Selain daripada itu, sembelit juga boleh menyebabkan najis ada sedikit darah atau terdapat luka pada lubang dubur / anus (perianal fissure). Oleh itu, adalah penting untuk untuk ibu-bapa peka terhadap sebarang perbezaan ketara dalam frekuensi pembuangan najis bayi.
Apakah sebab-sebab terjadinya sembelit?
Terdapat pelbagai sebab terjadinya sembelit. Sembelit boleh terjadi atas beberapa sebab. Antaranya …
- Masalah penyahhidratan (dehydration).
- Pertukaran susu daripada susu badan ke susu formula.
- Memulakan makanan pelengkap (weaning diet)
- Masalah usus seperti Hirschsprung’s disease
- Penyakit cystic fibrosis (paru-paru)
- Kekurangan hormon tiroid (hypothyroidism)
- Kekurangan calcium dalam darah (hypocalcemia)
- Ada juga ubat-ubatan yang boleh menyebabkan sembelit
Bagaimana Mengelakkan /Merawat Sembelit Dalam Bayi?
Bayi berusia lebih 6 bulan perlu dipastikan cukup hidrasi. Mereka boleh disyorkan untuk minum lebih banyak air dan jus. Mereka juga boleh makan makanan yang tinggi serat seperti barli,bayam,brokoli dsb
Aktiviti fizikal seperti menggerakkan kaki dan juga merangkak juga dapat mengurangkan sembelit. Urutan bahagian perut juga dapat melegakan sembelit.
Sekiranya masalah sembelit masih berlaku, doktor mungkin akan memberikan cecair lactulose.
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Anda perlu membawa bayi anda berjumpa doktor sekiranya anda perasan hal ini
- Najis berwarna merah dan berdarah
- Najis berwarna putih/pucat atau kelabu asap
- Najis lebih banyak dari normal untuk anak anda
- Najis lebih cair dari biasa
- Najis ada mucus/lendir. Terdapat satu kondisi yang dinamakan intussusception. Usus akan masuk kedalam bahagian usus lain dan menyebabkan usus tersumbat. Intussusception adalah kondisi yang memerlukan rawatan kecemasan segera. Anak yang mengalami intussusception biasanya berusia 5-9 bulan dan menangis kesakitan. Najis mereka akan bercampur darah dan lendir seperti jeli red currant (red currant jelly stools)
- Perut kembung/membengkak
- Muntah-muntah secara berterusan
- Tidak membuang angin (kentut)
Rujukan
Kementerian Pendidikan Malaysia