Telefon Sekarang : 019 - 2253612

Jaundis Neonatal (Neonatal jaundice)

Jaundis Neonatal (Neonatal jaundice)

Dr Adam Al-Anas bin Mat Ali
Pakar Kanak -Kanak Putra Specialist Hospital Melaka

Sering kali kita akan mendengar tentang bayi kuning. Terutama sekali pada bayi baru lahir. Pelbagai tips daripada ibu bapa kita

  • Jaundis adalah kekuningan pada kulit dan mata putih
  • Ini disebabkan oleh peningkatan kadar bilirubin di dalam darah. Bilirubin terhasil daripada pemecahan sel darah merah. Bilirubin akan diproses di hati dan dikeluarkan dalam najis. Bilirubin akan memberikan warna mustard kekuningan pada najis bayi.
  • Jaundis sering berlaku pada bayi baru lahir
  • Kebanyakan  bayi akan mengalami jaundis pada minggu pertama kelahiran
  • Terdapat beberapa jenis jaundis yang boleh terjadi pada bayi baru lahir
  • Diantaranya adalah jaundis fisiologi, jaundis patologi dan breast-feeding jaundice. 
  • Jaundis fisiologi adalah jaundis yang sering berlaku dan tidak terlalu berbahaya kepada bayi. Ia berlaku selepas 24 ke 48 jam kelahiran bayi. Keadaan ini berlaku kerana pemecahan sel darah merah yang lebih tinggi pada bayi baru lahir dan keadaan organ hati bayi yang masih belum matang. Ini menyebabkan proses penyingkiran bilirubin lebih lambat berbanding orang dewasa.
  • Jaundis patologi pula adalah jaundis yang berlaku pada hari pertama (kurang daripada 24jam). Jaundis ini lebih berbahaya dan memerlukan pemantauan rapi. Di antara sebab-sebab berlaku jaundis patologi adalah ketidakserasian darah ibu dan darah babyi ( apabila ibu mempunyai darah Rhesus negatif dan kumpulan darah O), defisiensi G6PD (kekurangan enzim ini menyebabkan sel-sel darah merah tidak stabil apabila terdedah pada bahan-bahan tertentu) dan jangkitan kuman pada bayi (sepsis)
  • Apabila jaundis pada bayi berpanjangan, ia dipanggil sebagai prolonged jaundice. Jaundis berpanjangan dikira apabila jaundis melebihi 14 hari untuk bayi lahir cukup bulan (37minggu ke atas) dan jaundis melebihi 21 hari untuk bayi lahir pramatang (lahir kurang dari 37 minggu).
  • Jaundis berpanjangan boleh disebabkan beberapa punca seperti susu ibu (breast milk jaundice), kekurangan hormon tiroid (Congenital Hypothyroidism), jangkitan  dan Biliary Atresia; keadaan di mana terdapat penyekaran jus hempedu daripada hati ke usus. Najis bayi yang mempunyai biliary atresia akan menjadi warna pucat , air kencing kelihatan seperti teh pekat dan perut akan kembung/membengkak.
  • Terdapat beberapa situasi yang boleh menyebabkan bayi mendapat jaundis yang serius dan teruk. Contohnya  dimana jaundis berlaku dalam tempoh 24 jam kelahiran bayi, bayi boleh mendapat kekuningan jaundis yang teruk. Begitu juga untuk ibu berkumpulan darah O atau rhesus negatif. Keadaan lain seperti bayi mempunya defisiensi G6PD, atau lahir pramatang juga berisiko mendapat jaundis teruk. Kesemua bayi yang berisiko mendapat jaundis teruk akan dipantau dengan rapi di hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
  • Mengapa Doktor dan kakitangan kesihatan amat mengambil berat tentang bayi jaundis? Ini kerana kesan sampingan teruk boleh terjadi akibat daripada jaundis. Jaundis yang teruk boleh mengakibatkan kerosakan otak  dan system saraf disebabkan kernicterus. Oleh itu, kita perlu mengesan jaundis dengan segera dan merawat serta memantau jaundis neonatal.
  • Terdapat beberapa kaedah pengesanan jaundis neonatal. Kaedah pertama dipanggil melalui penilaian visual menggunakan kaedah Kramer’s Rule. Kramer’s Rule memberi panduan kepada kakitangan perubatan untuk menilai paras kekuningan pada bayi. Kekuningan pada muka dan leher memberi gambaran bahawa jangkaan bacaan bilirubin dalam darah bayi dalam 68-133mmol/L atau 4-8mg/dL. Jika kekuningan semakin ke bawah badan bayi, contoh nya jaundis di bawah pusat bayi, jangkaan bacaan bilirubin dalam darah bayi lebih tinggi iaitu dalam 136-272mmol/L atau 8-16mg/dL. Kaedah kedua, pihak klinik atau hospital boleh menggunakan alat Transcutaneous Bilirubinometer (TcB)yang diletakan di dada bayi untuk memberi bacaan bilirubin pada bayi. Ianya mudah dan cepat,biasanya digunakan untuk pemantauan dan saringan. Mesin inu bukan 100% tepat anggaran sensitif 80-100% ,spesifik 30-90% .Kebiasaanya,jika paras bilirubin dari alat ini terlalu tinggi atau agak suspicious/ tidak pasti , doctor akan mengambil darah untuk kepastian.Seterusnya, jika bayi sudah dikenalpasti mempunyai jaundis neonatal melalui penilaian visual atau melalui alat TcB, pemeriksaan darah Total serum bilirubin (TSB) pula akan dilakukan untuk pengesahan bacaan bilirubin dalam darah bayi.  Kebanyakan klinik kesihatan, klinik swasta dan hospital menggunakan kaedah capillary serum bilirubin dimana sedikit darah akan diambil daripada tapak kaki bayi dan dihantar ke lab untuk mendapatkan bacaan bilirubin bayi. Pengambilan darah daripada yang lebih banyak mungkin diperlukan untuk memantau jaundis bayi yang  berisiko tinggi. 

 Contoh alat Transcutaneous Bilirubinometer (TcB)

  • Kesemua penilaian, pemeriksaan rapi oleh Doktor dan Jururawat amat penting bagi merawat bayi yang mempunyai jaundis.
  • Jika bayi anda mempunyai jaundis yang tidak serius atau rendah Doktor akan membenarkan bayi pulang ke rumah dan akan diminta untuk datang ke klinik setiap hari atau 2 hari sekali untuk memeriksa darah bilirubin. Bayi yang tidak dirawat dan tidak dirujuk ke hospital akan dipantau dengan rapi oleh Doktor di Klinik Kesihatan/Klinik swasta dan juga oleh jururawat masyarakat (JM). Lawatan ke rumah juga akan dilakukan oleh jururawat untuk memastikan bayi dibawa ke klinik untuk pemeriksaan Doktor dan juga dapat memantau keadaan bayi. Doktor dan jururawat akan menasihatkan ibu untuk menyusukan bayi dengan lebih kerap 1-2 jam sekali selama 15-20minit untuk memastikan bayi mendapat susu badan yang mencukupi dan dapat menyingkirkan bilirubin dengan lebih kerap melalui pembuangan najis. 
  • Jika bacaan bilirubin bayi anda tinggi dan memerlukan pemantauan rapi di hospital, pihak klinik akan merujuk bayi tersebut ke hospital. Terdapat 2 kaedah rawatan yang dijalankan di hospital. Rawatan pertama adalah fototerapi iaitu rawatan terapi cahaya yang menggunakan sinar UV ultraviolet untuk memecahkan bilirubin pada bayi. Rawatan pertukaran darah atau exchange transfusion mungkin dilakukan jika kandungan bilirubin dalam darah bayi anda terlalu tinggi dan bayi berisiko mendapat Kernicterus! Kesemua rawatan ini adalah untuk memastikan kandungan bilirubin dalam darah bayi anda adalah pada paras tidak berbahaya dan rawatan-rawatan ini perlu untuk menyelamatkan bayi anda.
  • Sebelum saya akhiri tajuk ini, saya ingin menyentuh sedikit mengenai mitos jaundis yang boleh memudaratkan bayi anda. 
  • JANGAN beri bayi anda minum air buah anggur hitam
  • JANGAN beri anda minum susu kambing segar
  • JANGAN jemur bayi anda di bawah sinaran matahari kerana bayi anda berisiko untuk mendapat dehidrasi!

Rujukan

Kementerian Kesihatan Malaysia

Translate »